Posted on Monday, May 31, 2010 |
6.6 KONTRA PENGGUNAAN INTERNET DALAM KALANGAN KANAK-KANAK

6.6.1 Salah Guna

Penggunaan internet masa kini banyak yang telah menyimpang daripada tujuan asal ia diperkenalkan. Salah guna ini tidak terhad kepada golongan dewasa sahaja, malah dalam dunia yang serba canggih ini, ia turut melibatkan golongan kanak-kanak.  Salah guna yang dilakukan semakin berleluasa dari hari ke hari, mungkin juga berpunca daripada kurangnya pemantauan daripada ibu bapa dan golongan dewasa. Antara salah guna yang semakin menjadi-jadi ialah peluang mereka melayari laman sesawang yang tidak sepatutnya. Laman sesawang yang dimaksudkan ialah laman sesawang yang mengandungi unsur lucah dan termaktub untuk golongan yang berusia 18 tahun ke atas. Perkara ini adalah serius dan perlu diberi perhatian serta pemantauan yang lebih kerana jika dibiarkan, ia mampu merosakkan masa depan kanak-kanak ini.

6.6.2 Laman Sosial

Laman sosial kini semakin tidak asing lagi dalam masyarakat global. Laman sosial juga dianggap penting untuk bukan sahaja untuk perhubungan malah turut melibatkan bisnes. Namun begitu, tidak semua yang menjadikan laman sosial ini sesuatu yang positif sahaja, kerana setiap sesuatu yang pro pasti ada kontranya. Laman sosial adalah ‘public domain’, oleh itu setiap sesuatu yang ditulis adalah awam dan semua pengguna berhak untuk tahu, memberi idea malah juga membantah. Kanak-kanak seperti yang boleh difahami, adalah golongan yang majoritinya belum baligh, iaitu lebih tepat kurang mengerti untuk membezakan antara baik dan buruk dan kurang berfikir panjang dalam sesuatu tindakan mereka itu. Melalui laman sosial, banyak masalah yang boleh timbul sebagai contoh dalam salah satu laman sosial yang semakin popular iaitu Facebook, setiap status yang ditulis bakal dibaca oleh semua rakan serta pengguna Facebook yang lain. Jika silap tulis maka boleh menimbulkan masalah lain, bak kata pepatah, kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Sudah banyak kes yang melibatkan perkara seperti ini yang berlaku dalam laman sesawang namun ramai pihak masih kurang memberi pemantauan dan perhatian. Kutuk-mengutuk yang pada awalnya hanya atas talian akhirnya boleh membawa kepada pergaduhan besar yang mana paling teruk sehingga boleh menyebabkan kematian. Antara kesalahan lain yang dilakuakn dalam laman sesawang ialah kecenderungan mereka mencari rakan yang mana akhirnya banyak menyebabkan mereka terjebak ke kancah yang tidak sepatutnya.

6.6.3 Buang masa dan duit

Seperti yang sedia maklum, kanak-kanak yang menggunakan internet pada hari ini tidak terhad kepada golongan anak-anak orang kaya sahaja. Ini kerana, bagi mereka yang kurang mampu untuk memiliki komputer atau komputer riba sendiri, banyak kafe siber yang ditubuhkan. Tujuan utama kafe siber ini ditubuhkan adalah untuk memudahkan masyarakat  mencari maklumat serta malayari internet untuk penambahan ilmu pengetahuan tentang dunia luar, namun kebanyakan kanak-kanak menggunakan perkhidmatan ini untuk tujuan hiburan sahaja. Mereka sanggup melepak di kafe siber semata-mata untuk bermain permainan atas talian dan melayari laman sosial. Perkara ini jika berlarutan hanya menyebabkan mereka membuang masa serta membazir duit.
                                                                                                                       
6.7 KESAN PENGGUNAAN INTERNET DALAM KEHIDUPAN KANAK-KANAK

6.7.1 Kesan jangka masa pendek.

Penggunaan internet dalam kalangan kanak-kanak ini banyak mempengaruhi dan memberi kesan kepada kehidupan mereka. Kesan-kesan ini bukan sahaja melibatkan dalam jangka masa pendek malah turut melibatkan jangka masa panjang. Namun begitu, tidak semua kesan adalah negatif, masih ada kesan positif dalam kehidupan mereka.

            Antara kesan jangka masa pendek yang paling biasa terjadi ialah timbul fitnah yang mana seterusnya bakal mengundang pergaduhan sesama sendiri. Perkara sebegini dilihat adalah amat tidak sihat, namun jika pemantauan kurang diberi maka perkara ini tidak mungkin dapat diselesaikan.

            Selain daripada itu,  pendedahan yang terlampau juga mampu mempengaruhi peribadi mereka, terutama pendedahan yang meluas dalam permainan video dan permainan atas talian. Terdapat kajian yang telah dijalankan, mendapati budak lelaki yang mempunyai alat mainan video tidak menunjukkan perkembangan cepat di sekolah berbanding pelajar lain yang tidak memiliki peralatan berkenaan. “Markah penulisan dan bacaan secara purata di kalangan pemain video tidak merosot, tetapi tidak menunjukkan peningkatan,” kata Robert Weis dari Universiti Denison di Ohio, penulis bersama kajian berkenaan. “Bagi kanak-kanak tanpa permainan, markah mereka meningkat mengikut peredaran masa. Bagi pelajar yang sentiasa bermain mainan video, markah mereka tetap stabil, tetapi tiada perkembangan dalam bacaan dan penulisan,” kata Weis. Kajian terbabit mendapati bahawa pemain video menghabiskan selama 40 minit setiap hari bagi PlayStation II akan mengurangkan masa belajar dan aktiviti sosial mereka. “Kanak-kanak tanpa permainan berkenaan di rumah memperuntukkan secara purata sembilan minit sehari untuk permainan video, biasanya di rumah rakan,” kata kajian terbabit. (sumber: http://intim.wordpress.com/2010/03/20/budak-suka-main-video-susah-belajar/).

Namun begitu, antara lain kesan jangka masa pendek pendedahan mereka dengan internet ini ialah mereka mampu meluaskan perhubungan dan membina perhubungan persahabatan yang baru dan tidak terhad kepada rakan sekolah dan yang terdekat sahaja.

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.

Related Posts with Thumbnails